Friday, January 14, 2011

Perhubungan dan Kehidupan

Salam Kegemilangan dan Salam 1 Malaysia

Pagi ialah masa kita mengalu-alukan mood ceria supaya dapat memulakan hari dengan perasaan gembira.  Kita perlu mengamalkan beberapa cara yang akan dimaklumkan seperti di bawah ini supaya dapat hidup ceria sepanjang masa.  Kita perlu tahu bahawa mood ceria amat penting supaya dapat hidup dengan lebih sihat.

Mulakan diri pada waktu pagi dengan.....

1)  Perkara yang perlu dilakukan ialah bersyukur kerana anda masih berpeluang bernafas.  Sekali gus anda masih boleh meningkatkan kualiti hidup;

2)  Kemudian niat dalam hati untuk menjadi seorang yang lebih bersemangat.  Misalnya anda ibu tunggal yang memiliki anak yang masih bersekolah.  Jadikan anak anda sebagai pembakar semangat untuk menjadikan hidup mereka lebih baik;

3)  Selepas memasang niat baik di dalam diri dan minda, mulakan hari anda dengan ucapan Bismillah.  Sebelum memasak untuk keluarga, mulakan dengan lafaz Bismillah.  Sudah pasti masakan anda lebih enak kerana dimulakan dengan ucapan ini;

4)  Mulakan juga hari anda dengan sasaran yang hendak dicapai.  Tetapkan apa-apa yang hendak anda capai.  Misalnya hari ini anda hendak pergi ke pasar.  Tetapkan barang yang hendak dibeli.  Rancang  segalanya dengan betul.  Hal ini bukan sahaja merangsang minda anda untuk bekerja dengan lebih seimbang tetapi turut menjadikan ekonomi anda lebih baik;

5)  Agar lebih positif (+ve), lihatlah warna cerah seperti hijau atau biru.  Kedua-dua warna ini membawa kepada ketenangan dan boleh menyihatkan mata; dan

6)  Memaafkan orang ialah antara cara menjadikan hari-hari kita semakin menggembirakan.  Walau pun sakit hati atau tidak suka dengan sikap sesetengah orang, bersedialah memaafkan mereka.  Selain itu, kita perlu juga bersedia meminta maaf daripada orang lain.

~  Sharing is Caring  ~
(Sumber petikan:  Majalah MIDI 15 Disember 2010)

Thursday, January 13, 2011

Renungan: Hadis Rasulullah S.A.W

~  Berhati-hati dengan pemikiran kamu kerana ia akan melahirkan perkataan
~  Berhati-hati dengan perkataan kamu kerana ia akan melahirkan perbuatan
~  Berhati-hati dengan perbuatan kamu kerana ia akan melahirkan tabiat
~  Berhati-hati dengan tabiat kamu kerana ia akan membentuk karektor
~  Berhati-hati dengan karektor kamu kerana ia akan menentukan destinasi kamu
~  Kegembiraan atau kecelakaan....????

~  Sharing is Caring  ~

Renungan: Syukurlah....

Salam Kegemilangan dan Salam 1 Malaysia

Bersyukur lah kita terhadap segala yang kita perolehi kerana dunia ini sudah cukup bagi kita seandainya kita dapat menghilangkan kelaparan, menutupi badan, mempunyai rumah yang baik dan mempunyai kenderaan yang boleh digunakan.  Bersukur lah...

(Riawayat Bukhari dan Muslim)

Gunakan Ubat Secara Rasional

Salam Kegemilangan dan Salam 1 Malaysia

Ubat-ubatan mengandungi agen yang penting untuk memulihara dan meningkatkan kesihatan.  Oleh yang demikian, ubat-ubatan mestilah selamat, mampu dibeli, boleh didapati dan digunakan dengan sewajarnya.  Penggunaan ubat secara tidak rasional bukan lah isu baru.  Penggunaan ubat secara tak rasional masa kini telah diakui sebagai epidemik global yang baru.  Penggunaan ubat secara tidak rasional bukan sahaja berbahaya kepada kesihatan awam tetapi juga mempunyai impak negatif (-ve) terhadap ekonomi dan membawa kepada pembaziran.

Pastikan Anda Tahu:
-  Jenis ubat yang diambil;
-  Tujuan diambil;
-  Dos tepat yang perlu diambil;
-  Masa untuk mengambilnya;
-  Berapa lama perlu diambil;
-  Jenis makanan dan minuman yang perlu dielak;
-  Jenis aktiviti yang perlu dielak (memandu, mengendalikan mesin dan lain-lain aktiviti); dan
-  Kesan sampingan yang mungkin berlaku akibat dari pengambilan ubat tersebut.

Pastikan Doktor dan Farmasi Anda Tahu:
-  Segala jenis ubat (termasuk vitamin) yang sedang anda ambil;
-  Jenis alahan atau interaksi yang anda alami apabila mengambil sesetengah ubat;
-  Tabiat pengambilan minuman keras anda; dan
-  Sama ada anda merokok atau mengambil minuman berkafien.

~  Sharing is caring ~

Tuesday, January 11, 2011

Pelan Transformasi Kerajaan (PTK)

Apakah Program Transformasi Kerajaan (GTP)?

Program Transformasi Kerajaan (GTP) diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak pada bulan April 2009, dan akan diterajui oleh beliau. Dua objektif GTP adalah – pertama, untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat; dan kedua, memacu Malaysia ke arah melahirkan masyarakat yang maju, bersatu-padu dan saksama dengan standard kehidupan yang tinggi untuk semua. Ini sejajar dengan misi nasional ke arah mencapai Wawasan 2020 – untuk Malaysia mencapai status negara maju sepenuhnya.

Enam NKRA telah dikenalpasti untuk menuju ke arah transformasi Kerajaan dan ianya adalah:

Mengurangkan Jenayah
-  mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang akhir 2010.

Membanteras Rasuah
-  semua perolehan kerajaan menggunakan tender terbuka atau tender tertutup untuk memerangi rasuah.

Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar
-  pendidikan pra-sekolah dijadikan sebagai sebahagian pendidikan kebangsaan untuk memastikan akses sistem pendidikan yang berkualiti.


Meningkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah
-  membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010.

Mempertingkatkan Infrastruktur Asas Luar Bandar
-  memperuntukkan RM10.9 billion untuk membaik pulih jalan dan infrastruktur lain di kawasan luar selain 50,000 buah rumah.

Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar
-  mensasarkan 25 peratus penduduk Lembah Kelang menggunakan pengangkutan awam menjelang akhir 2010.

    Monday, January 10, 2011

    Renungan: Wasiat Imam Hasan al-Banna

    Salam Kegemilangan dan Salam 1 Malaysia

    Saudaraku...
    Janganlah engkau berputus asa,
    Kerana putus asa bukan akhlak seorang muslim,
    Ketahuilah bahawa kenyataan hari ini adalah impian semalam,
    dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok,
    Waktu masih panjang dan,
    hasrat akan terwujudnya kedamaian,
    Masih tertanam dalam jiwa masyarakat kita,
    meskipun fenomena-fenomena kerosakan dan kemaksiatan menghantui mereka,
    Yang lemah tidak akan lemah sepanjang hidupnya,
    dan yang kuat tidak akan selamanya kuat.

    Renungan: Berkaitan Dengan Sabar

    Salam Kegemilangan dan Salam 1 Malaysia

    Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu memerlukan kesabaran pula.  Ada pun bala dan musibah akan menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang ALLAH.  Oleh itu syukurilah ia kerana syukur yang sedemikian adalah setinggi-tinggi erti syukur....

    Thursday, January 6, 2011

    Tahukah Anda

    Salam Kegemilangan dan Salam 1 Malaysia

    JIKA KERTAS DAPAT DIKITAR SEMULA SECARA MAKSIMUM, ANDA DAPAT MENGURANGKAN 4,360 TAN SAMPAH SEHARI BERSAMAAN 78,000 BATANG POKOK.

    Kenali Dunia Bayi Anda

    Salam Kegemilangan dan Salam 1 Malaysia

    1)  1 Bulan - Pada awal kelahirannya, bayi hanya mampu melihat dalam anggaran jarak 20-25 cm.  Walau pun jarak tersebut terhad, bayi boleh membalas senyuman yang dihadiahkan kepadanya;

    2)  2 Bulan - Ketika berusia 2 bulan, bayi sudah boleh memberikan tindak balas jika anda mengagahnya.  Bayi juga sudah pandai mengeluarkan bunyi-bunyian seperti eh, ah, uh dan oh;

    3)  3 Bulan - Bayi sudah mampu mengangkat kepala ketika meniarap dan menahannya untuk satu jangka masa yang agak lama;

    4)  4 Bulan - Pada usia begini, bayi semakin suka bermain dan pandai menggenggam barang permainan yang diberikan kepadanya.  Lazimnya bayi tertarik kepada benda yang berwarna terang;

    5)  5 Bulan -  Bayi kini bertambah lasak.  Keupayaannya mengawal belakang badan dan otot kaki membolehkan dia mengimbangi tubuhnya.  Hasilnya seorang bayi boleh duduk dengan stabil;

    6)  6 Bulan - Inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkan makanan pejal kepada bayi anda.  Bayi juga sudah pandai memindahkan objek yang dipegangnya daripada satu (1) tangan kepada tangan yang lain;

    7)  7 Bulan - Pada usia 7 bulan, bayi sudah aktif merangkak.  Gigi susunya pun mula tumbuh.  Ketika ini dia mungkin memerlukan sesuatu untuk digigit atau dihisap untuk meredakan kesakitan yang dirasa;

    8)  8 Bulan - Bayi semakin pantas mencapai barang-barang yang ada di sekelilingnya.  Hal ini bermakna bayi tidak boleh dibiarkan dengan barangan merbahaya yang bersepah;

    9)  9 Bulan - Kawalan tangan bayi sudah bertambah baik ketika berusia sembilan (9) bulan.  Memegang objek menggunakan jari jemarinya sudah tidak lagi mendatangkan masalah.  Bayi sudah boleh memegang botolnya sendiri;

    10)  10 Bulan - Bayi sudah boleh berjalan sekiranya anda memegang kedua-dua belah tangannya.  Pertuturannya semakin jelas terutamanya ketika menyebut perkataan mama dan dada;

    11)  11 Bulan - Bayi mungkin sudah boleh berdiri sendiri sambil menoleh ke kiri dan ke kanan.  Aktiviti memindahkan barang dari satu (1) bekas kepada bekas yang lain adalah antara perkara yang gemar dilakukannya; dan,

    12)  12 Bulan - Selain dari bersedia memulakan langkah baru, dia juga sudah pandai menepuk dan melambai-lambaikan tangannya.